Thursday 6 November 2014

TRADISI GEOGRAFI

Tradisi Ruangan

Tradisi Ruangan merupakan tradisi geografi yang paling utama daripada tiga tradisi yang lain. Tradisi ruangan adalah sangat umum kerana semua yang ada dalam bumi ini adalah ruang. Oleh itu tradisi ini telah diwujudkan untuk menjelaskan fenomena dunia dari segi ruang. Ruang mempunyai kedudukan dan arah yang relatif, terutamanya bila suatu bahagian dari daerah tersebut direka sedemikian rupa untuk tujuan tertentu. Sebagai contohnya daerah Kudat Sabah ia berhampiran dengan laut kerana memudahkan pembinaan pelabuhan, mudah menjalankan aktiviti perikanan, dan sebagainya. Manusia memilih ruang yang strategik kerana mudah untuk menjalankan aktiviti dalam kehidupan seharian.   
Kewujudan tradisi ruangan juga bertujuan untuk meneroka fenomena geografi yang mempunyai ruang yang luas dan bagaimana kita sebagai manusia mentafsir ruang fizikal di sekeliling kita. Ruang yang ada di dunia ini diterokai oleh manusia untuk pelbagai kegunaan dan kepntingan kepada manusia itu sendiri. Misalnya penerokaan untuk tujuan pertanian, pembalakan, petempatan dan sebagainya. Boleh dikatakan bahawa ruang sangat penting kepada manusia. Setiap manusia juga mempunyai persepsi yang berbeza untuk mendefinisikan pelbagai bentuk muka bumi yang ada di sekeliling kita. contohnya tanah rata sesuai untuk petempatan manusia dan pantai semujadi pula sesuai dikunjungi oleh pelancong.
Tradisi ini juga menekankan kepada persoalan geometri iaitu hubungan-hubungan keruangan dan perpindahan keruangan. Ini bermaksud setiap ruang itu ada interaksi dan saling memerlukan antara satu sama lain. Misalnya tanah subur sesuai untuk penanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan di antara tanah, cahaya matahari dan air hujan masing-masing ada hubungan dan saling melengkapi untuk tujuan tetentu. Pola adalah susunan geometri yang teratur, pola boleh berbentuk barisan linear,rawak dan bertaburan. Contohnya, pola penempatan penduduk sepanjang jalan raya, atau sungai yang digunakan untuk lalu lintas dan memudahkan pergerakan dari satu tempat ke tempat lain serta memudahkan urusan seharian berjalan dengan lancar.
Ruang adalah di mana kewujudan manusia itu berada dan ahli geografi menggunakan tradisi ini untuk mengkaji dan menjelaskan kewujudan pelbagai pola dan hubungan manusia dengan ruang serta bagaimana mereka mempengaruhi ruang yang mereka huni. Petempatan awal manusia adalah berdekatan dengan sungai, dan ada juga tingal dalam gua. Oleh itu wujud persoalan mengapa manusia tinggal berhampiran dengan sungai atau tinggal dalam gua. Adakah pemelihan petempatan itu sesuai dan penting kepada manusia?. Pemilihan ruang ini memang ada tujuan yang tersendiri seperti mudah menangkap ikan, mempunyai tanah subuh, perlindungan dan perhubungan. Begitu juga pada masa kini manusia membina rumah berhampiran dengan jalan raya untuk memudahkan perhubungan dan menjalankan aktiviti seharian.
Selain itu, ruang dalam istilah umum bermaksud satu bidang dalam tiga dimensi di mana objek mempunyai koordinat relatif antara satu sama lain. Bidang tiga dimensi merangkumi komponen sistem bumi atau sumber alam iaitu atmosfera, biosfera,dan litosfera serta hidrosfera yang termasuk dalam bidang geografi fizikal. Komponen atmosfera atau sistem atmosfera merupakan lapisan udara yang terdapat di sekeliling bumi. Sumber utama dalam atmosfera adalah udara yang mengandungi gas, wap air, asap dan partikel-partikel terampai. Komponen biosfera dihuni oleh hidupan termasuklah manusia, tumbuh-tumbuhan, dan haiwan. Contohnya tumbuh-tumbuhan sebagai pengeluar makanan bagi haiwan dan manusia seperti kangkung, bayam, sawi, ulam-ulaman dan pelbagai tumbuhan hijau yang lain. Komponen litosfera pula merujuk kepada lapisan luar bumi yang sangat pejal dan membentuk kawasan daratan iaitu benua dan pulau serta dasar lautan. Manakala komponen hidrosfera meliputi tasik, laut, paya, kolam, dan sungai. Kempat-empat komponen sistem bumi ini adalah saling berkaitan dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, ruang boleh dikatakan terlalu luas untuk dikaji oleh ahli geografi kerana merangkumi semua yang ada di bumi ini.
Dapat disimpulkan bahawa tradisi keruangan ini amat luas dan bersifat umum. Oleh itu ruang itu perlu dipilih oleh manusia untuk kepentingan dan kegunaan dalam pelbagai aspek. Ini kerana tradisi ini merangkumi setiap satu daripada tiga tradisi geografi, di mana setiap ruang berkaitan dengan tradisi tersebut. Ruang merupakan asas kepada setiap tradisi geografi. Setiap ruang di dunia ini mempunyai persamaan, perbezaan, dan kepentingan yang tersendiri dan tujuan tertentu.


Tradisi wilayah

Tradisi wilayah merupakan tradisi yang kedua dalam geografi. Dalam kajian geografi, wilayah diertikan sebagai suatu bahagian dalam permukaan bumi yang mempunyai ciri-ciri khusus atau khas tersendiri yang menerangkan satu keseragaman atau kehomogenan sehingga dengan jelas dapat dibezakan dari wilayah-wilayah lain di kawasan sekitarnya. Ciri-ciri khas dari suatu wilayah adalah berupa keadaan alam, ekonomi, demografi dan sosial-budaya. Beberapa contoh wilayah yang ada di permukaan bumi adalah kawasan hutan hujan tropika, zon daratan rendah, Amerika Latin (kawasan budaya), kawasan pertanian dan kawasan semulajadi.
Secara umumnya suatu wilayah dapat dibezakan menjadi dua, iaitu wilayah formal dan wilayah fungsional. Pengertian wilayah formal serupa dengan definisi wilayah secara umum, iaitu suatu daerah atau kawasan di muka bumi yang mempunyai ciri-ciri yang khas sehingga dapat dibezakan dari wilayah lain di sekitarnya.
Tradisi wilayah merupakan kajian yang berkaitan dengan kawasan atau tempat. Tradisi ini juga dikenali sebagai tradisi kawasan atau lokasi. Oleh itu kajian ini lebih berfokus kepada kawasan dan tempat. Ini bermakna di mana-mana kawasan boleh dikaji oleh ahli geografi untuk mengetahui apa yang dilakukan dan apa yang berlaku di suatu wilayah tersebut. Setiap kawasan atau tempat juga mempunyai perbezaan dan ia boleh dibandingkan dengan wilayah dan kawasan lain. Sebagai contohnya, di Bandar lebih padat penduduk berbanding di luar Bandar yang jarang penduduknya. Antara dua kawasan yang dibezakan itu bukan satu sahaja perbezaan yang diperolehi oleh peyelidik atau pengkaji. Tetapi bayak lagi faktor yang mempengaruhi di kawasan tersebut yang membezakan antara satu tempat dengan tempat yang lain.
Ahli geografi telah membahagikan dunia kepada daerah yang lebih kecil untuk memudahkan peyelidikan yang lebih khusus. Ini supaya kajian yang dijalankan oleh peyelidik dapat dilihat dengan jelas dan mempunyai dapatan kajian yang lebih tepat. Di Malaysia terdapat 13 negeri dan 2 wilayah (wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan) di mana membahagikan negeri itu kepada daerah dan setiap dearah pula adanya kampung-kampung. Pembahagian ini wujudlah lokasi di ruang permukaan bumi ini. Lokasi adalah lebih khusus atau spesifik berbanding dengan tempat atau kawasan yang masih besar skop kajiannya.

Geografi percaya ada hierarki kawasan, kecil ke besar dan sebaliknya yang mempunyai hubungan fungsinya. Hierarki kawasan ada peringkat-peringkat kewujudan suatu kawasan. Misalnya, pada awalnya Bandar bermula daripada perkampungan, seterusnya adalah menjadi daerah dan akan berkembang kepada bandar. Perkembangan ini harus dikaji mengapa ia menjadi bandar dan apa yang dilakukan oleh manusia sehingga suatu tempat itu berkembang menjadi bandar. Perkembangan ini mungkin berlaku kerana  dipengaruhi oleh sumber alam, kepadatan penduduk dan perindustrian yang pesat berlaku. Ini bermakna perkembangan bandar itu mempunyai hubungan dengan ruang dan aktiviti yang dilakukan oleh manusia. Oleh itu apabila ruang dimanfaatkan dengan baik ia akan membawa suatu kawasan itu menjadi bandar.
Tradisi ini juga dikatakan salah satu konsep yang mudah dalam geografi. Ini kerana suatu kawasan itu cuma dilihat daripada perbezaannya sahaja. Namun ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa ia sukar difahami. Ini kerana suatu kawasan (tempat) itu boleh menadi dari mana-mana saiz dan harus ditentukan. Ini menjadi sukar kepada sesetengah pihak kerana sukar menentukan tempat yang lebih tepat. Bagi mengatasi masalah ini harus ada sempadan di setiap tempat untuk membezakan satu tempat kepada tempat yang lain. Misalnya kawasan Kota Kinabalu Sabah dengan Pinampang Sabah mempunyai sempadan yang membezakan kedua-dua kawasan ini. Sempadan antara kawasan ini perlu supaya apa sahaja yang dikaji di kawasan tersebut tidak terlalu luas dan mempunyai skop yang kecil. Oleh itu bagi mereka yang mahu, kajian kawasan ini boleh dianggap sebagai seni dan tradisi ruang ilmu.
Dalam tradisi wilayah ini juga definisi dan deskripsi wilayah dan kawasan adalah berbeza. Persepsi manusia terhadap suatu wilayah dan kawasan masing-masing  mendefinisikan dan menjelaskannya. Wilayah pertanian, wilayah budaya (Amerika Latin), dan wilayah hutan hujan tropika mempunai maksud dan penjelasan yang tersendiri. Misalnya wilayah pertanian ini khas untuk menanam padi, buah-buahan, ubi dan sebagainya. Wilayah pertanian ini sesuai untuk pelbagai tanaman kerana mempunyai tanah yang subur. Ini salah satu contoh persepsi manusia mengenai wilayah pertanian ini. Begitu juga dengan kawasan mengapa suatu kawasan itu dipilih untuk perlombong, petempatan dan pelancongan.
Secara kesimpulannya, tradisi wilayah mempunyai kaitan dengan tradisi yang lain khusunya tradisi keruangan. Namun tradisi ini lebih berfokus kepada wilayah, kawasan (tempat) dan lokasi untuk kajian dalam bidang geogafi fizikal dan manusia.

Rujukan

Bambang Utoyo, (2007). Geografi: Membuka Cakrawala Dunia. Penerbit PT Setia Purna Inves,Jl. Pasirwangi 1(Pasirluyu) No. 2 Soekarno-Hatta, Bandung 40254.

Getis Artur, Bjelland Mark & Getis Victorian (2013). Introdution To Geography (14th Edtion). Published 2013 by Mcgraw-Hill Science/Engineering/math.

Rosnah Haji Salleh, Shukri sulaiman & Che Zainon shafie (2007). Geografi fizikal. Arah Pendidikan Sdn Bhd.